Look around yourselves


Can't you see this wonder


Spreaded in front of you


The clouds floating by


The skies are clear and blue


Planets in the orbits


The moon and the sun



Such perfect harmony.... (Subhanallah..!!!)







~bismillahirrahmanirahiim~


Sunday, August 23, 2009


Cinta Remaja...

"CINTA REMAJA: sebuah perkongsian dari ZAHIR"

Cinta adalah makhluk tidak bernyawa. Ia tidak berjisim, tidak berjirim, tidak punya rupa dan fizika. Tetapi ia ajaib dan berkuasa. Ia menjalar dalam jiwa dan menggetarkan rasa. Siapakah sang ajaib Penciptanya?

Cinta adalah biasan dari Penciptanya yang Maha Pencinta. Ia dibiaskan kepada segala ciptaan-Nya supaya mereka dapat hidup dalam cinta, kasih dan mesra, serta aman bahagia.

Cinta adalah fitrah dan cinta adalah suci. Cuma, kerana hawa nafsu buas, cinta disalahgunai. Cinta suci telah dicemarkan oleh manusia yang tamak, tidak sabar, gelojoh, rendah akal dan terpengaruh oleh hasutan dan desakan keji syaitan.

Masa remaja adalah masa cinta berbunga. Pantas sekali remaja bercinta, mencari cinta dan mahu dicintai. Cinta remaja kini sudah menjadi fenomena. Di merata-rata didapati remaja bercinta, malah tenggelam dan hanyut dalamnya, lalu mati, terkorban, korban cinta yang ngeri dan menjijik serta bangkainya membusukkan.

Berbicara soal cinta remaja adalah berbicara soal hubungan dan pergaualan remaja lelaki dan perempuan. Yang dimaksudkan dengan cinta remaja dalam tulisan ini hanyalah cinta remaja yang bathil, yang salah, yang terlarang, dan yang haram, dan bukan cinta remaja yang suci. Yang dimaksudkan dengan cinta remaja dalam tulisan ini ialah cinta remaja sebelum mereka bernikah, iaitu mereka bercinta dengan lelaki bukan hak halal mereka ie bukan suami mereka.

Senarai beberapa panduan dalam manual kehidupan seorang bernama Muslim:

1. Hubungan Lelaki dan Wanita atas Keperluan

Umum mengetahui bahawa sistem kehidupan manusia yang paling sempurna dan agung ie Islam membataskan hubungan antara lelaki dan wanita dengan hikmah tertentu yang Allah lebih mengetahui sebagai Pencipta kedua-dua jantina itu. Dari pemisahan tempat solat dan susunan sofnya sudah ternyata hakikat pemisahan antara lelaki dan wanita. Komunikasi antara dua jantina ini bagaimanapun diizinkan dalam hal-hal keperluan seperti urusan muamalat harian, tetapi tidak dalam hal-hal kehendak yang banyak didorong oleh hawa nafsu seperti kehendak berhibur dan berseronok lelaki dengan wanita luar nikah. Kehendak seperti itu adalah berlandaskan hasutan syaitan dan desakan hawa nafsu semata yang mengindahkan dunia sementara tapi mengazabkan akhirat hidup yang selama.

Cinta remaja adalah perlakuan yang terkategori dalam kehendak yang berlandas hawa nafsu. Maka ia adalah perhubungan yang tidak terizin, dengan kata laras hukum; haram.

2. Khalwat Fizikal dan Khalwat Hati adalah haram

Rasulullah s.a.w bersabda "Setiap kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, syaitan akan menjadi orang ketiga."

Sudah termaklum dalam masyarakat Muslim bahawa khalwat adalah haram. Umumnya, orang memahami bahawa khalwat terjadi hanya setelah seorang lelaki dan seorang wanita bersama-sama bersendirian, terutama di tempat tiada orang lain. Khalwat itu bahaya dan haram. Persoalannya, apakah tidak berkhalwat, tidak bahaya dan tidak haram jika ada tiga orang atau lebih terdiri daripada lelaki dan wanita, di suatu tempat yang di sana mereka tidak ada perasaan malu lagi untuk berbuat maksiat, seperti di pusat-pusat hiburan dan arak? Persoalan lain, apakah tidak berkhalwat, tidak bahaya dan tidak haram dua orang dari lelaki dan wanita bersama-sama di khalayak ramai, sedang hati kedua-duanya tertaut rapat oleh hawa nafsu dan perlakuan kedua-duanya adalah perlakuan seperti orang berkhalwat, yang tidak rasa malu kepada sesiapa di sekeliling, bahkan tidak rasa malu kepada Yang Maha Melihat? Persoalan lain lagi ialah apakah tidak termasuk khalwat dua orang lelaki dan wanita yang terjalin dengan hubungan hati berlandas maksiat dalam perbualan secara langsung mahupun melalui telefon dan alat komunikasi lain?

Ternyata kondisi-kondisi tersenarai di atas adalah maksiat semata dan terkategori khalwat juga, kerana khalwat itu bukan pada fizikal sahaja, tetapi juga pada hati, malah khalwat hati itu lebih terdahulu bermula kerana setiap perbuatan dan perkataan adalah hasil dari ilham hati. Khalwat jasadi (badan) hadir setelah khalwat qalbi (hati).

Dalam soal cinta remaja, khalwat secara fizikal di tempat tiada orang lain berkemungkinan terjadi, bahkan memang sejarah membuktikan ia pasti terjadi, yang menentukan hanya asri (masa), lambat atau cepat. Lebih mudah terjadi dari khalwat jasadi ialah khalwat hati yang berlangsung secara terbuka atau tertutup. Dalam situasi terbuka umpama pertemuan lelaki dan wanita di khalayak umum, jasad keduanya tidak berkhalwat, tetapi hati keduanya bias saja berkhalwat melalui tautan nafsu yang melahirkan kata-kata lunak manja wanita dan pandangan serta jelingan mata panah syaitan. Disebabkan khalwat hati, remaja bercinta hilang perasaan malu kepada orang lain dan kepada Rabb mereka, sekalipun di tempat umum dan di khalayak ramai, mereka melakukan apa saja maksiat yang memenuhi citarasa hawa nafsu. Tambahan lagi masyarakat individualistic hari ini sudah tidak peduli maksiat berlangsung hebat depan mata mereka asal kamu nikmat dan aku tidak terganggu bahkan dapat mengongsi sama nikmat maksiatmu. Astaghfirullah. Na'uzubillah. Khalwat hati bisa saja terjadi sepanjang perhubungan langsung muka ke muka mahupun melalui media; telefon, pesanan tek, surat, emel dan sebagainya. Jelas bahawa cinta remaja adalah terlarang kerana khalwat fizikal dan hati yang mengisi cinta remaja itu adalah haram.

3. Bertentang Mata adalah Panahan Beracun Iblis

"Pandangan itu adalah panahan beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku nescaya akan Aku gantikan ia dengan iman dan dia akan memperoleh kemanisan dalam hatinya." (hadis riwayat at Tabrani dan al Hakim)

Tentu sekali tidak ada antara kita yang mahu terkena panahan, apalagi panahan beracun. Inikan pula panahan beracun yang bukan sebarangan, tapi panahan beracun dari musuh kita, Iblis dan syaitan yang dilaknat Allah. Terkena panahan saja, kita tidak mahu kerana ia menyakitkan. Semua orang dapat mengagak kesakitan dari terkena panahan. Bertentang mata antara lelaki dan wanita sebenarnya menyakitkan kerana ia adalah dosa dan dosa pasti menyakitkan di neraka nanti, walaupun tidak sekarang menyakitkan tetapi akan menyakitkan di hari kemudian; akhirat. Hanya pada fizikalnya pertentangan mata lelaki wanita itu tidak menyakitkan, malah menikmatkan kerana ia berempahkan nafsu, padahal hakikatnya amat menyakitkan.

Panahan kosong saja sudah sangat menyakitkan, apa lagi panahan beracun. Semua orang tahu racun kesannya bukan sedikit, malah boleh bertindak cepat dan menyebar ke seluruh badan, hingga ia mengalir dalam darah dan meracuni seluruh urat, saraf, otot dan anggota . Bertentang mata lelaki wanita itu panahan beracun. Maka amat senang sekali dimengertikan kita bahawa ia akan segera menusuk masuk dalam darah, dan berlari, menyebar ke seluruh badan dengan pantas serta menyerang bahagian-bahagian badan lain. Sebab itu, sekali saja bertentang mata lelaki perempuan, hati dengan pantas terus bergetar, bergegar dengan niat dan bayangan yang jahat, dan seluruh anggota pun bangkit bersemangat untuk bertindak, padahal tindakan itu adalah maksiat. Demikianlah kuasa tindak sepantas kilat yang bisa tergenerate dari sekilas pertentangan mata dua jantina.

Apatah lagi panahan beracun ini bukan milik pemanah sebarangan, tapi si pemanah musuh kita yang jelas lagi nyata. Dan dia musuh yang berkuasa. Mesti dan sedapat-dapatnya kita mengelak panahan beracun ini.

Menyentuh cinta remaja, seolah-olah terbayang remaja lelaki dan perempuan bergelimpangan, mati merana dan merata di jalanan kerana terkena panahan beracun Iblis dan syaitan. Bagaimana mereka bisa mengelak dari terkena panahan itu kalau mereka sendiri yang pergi mencari-cari dan menghadapkan diri dan mata mereka pada panahan itu. Amat sukar dan ironis untuk difahami, mereka itu pergi menghadapkan diri di depan panahan beracun syaitan secara berdepan-depan, seolah–olah menyerah diri dan lagi mereka mengambil jarak yang amat dekat, sehingga kuasa panahan yang mengena itu amat kuat.

Memang telah terang lagi nyata, panahan beracun Iblis itu bahaya dan setiap yang bahaya tidak boleh diambil, dilarang mengambilnya apatah lagi bermain-main dan berseronok dengannya. Pertentangan mata lelaki wanita itu bahaya, maka dilarang bahkan haram melayani, bermain-main dan berseronok dengannya. Pendeknya, cinta remaja yang sudah semestinya terbina dari pertentangan-pertentangan mata lelaki dan wanita itu adalah bahaya, maksiat, dosa dan haram.

4. Suara Lunak Lemak Manja Wanita adalah Aurat

Surat al Ahzab ayat 32: "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik" . Yang dimaksud dengan tunduk di sini ialah bukanlah tunduk pandangan semasa berbicara, tetapi tunduk di sini bermakna melembutlunakmanjakan suara semasa wanita berbicara dengan lelaki sehingga bias menimbulkan keberahian lelaki itu untuk bertindak tidak baik terhadap mereka. Contoh sikap demikian ialah bertutur secara lunak, lemah gemalai, manja, dan menggoda hawa nafsu lelaki. Yang dimaksud dengan dalam hati mereka ada penyakit ialah orang yang mempunyai niat berbuat serong dengan wanita, seperti melakukan zina atau pembukaan kepadanya.

Nah! Isteri-isteri Nabi yang merupakan para wanita yang paling mulia dan merupakan ibu kepada kaum mukminin itu pun diberi panduan, amaran dan peringatan agar tidak melunakkan suara apabila berbicara dengan lelaki. Para isteri Nabi yang suci pun diberikan peringatan keras, apatah lagi kaum mukminat seluruhnya. Kaum lelaki dalam kuatnya secara jasadi sebenarnya lemah terhadap tarikan wanita. Ternyata percakapan wanita yang lunak, manja, dan menggoda kepada lelaki yang bukan merupakan suaminya adalah maksiat yang jelas dan tentunya haram. Sedang dalam cinta remaja itu, lagak pergaulan, percakapan dan komunikasi antara kedua-dua orang dari pasangan remaja itu tidak banyak bezanya dengan lagak pergaulan seorang suami isteri yang semestinya berkasih-kasihan dan manja kepada pasangannya semasa perhubungan dan perbualannya. Mereka bertutur dengan kata-kata manja dan nada menggoda. Perlakuan sedemikian padahal tidak layak sama sekali bagi pasangan bukan suami isteri, bahkan haram. Demikian sebabnya, cinta remaja yang memang mengandung perlakuan tidak halal ini adalah terlarang, malah haram.

5. Bersentuhan antara lelaki dan wanita

Bersentuhan antara lelaki dan wanita menurut syariat (undang-undang) Islam adalah haram. Bersentuhan saja sudah haram, apatah lagi perlakuan yang lebih dari itu. Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika kepala kamu ditikam dengan besi, itu lebih baik daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal untuk kamu." (hadis riwayat at Tabrani dan al Baihaqi). Kepala ditikam dengan besi itu bukan hal yang baik, malah terlalu pedih azabnya. Tapi, ini dikatakan lagi bahawa hal yang terlalu pedih azabnya itu (kepala ditikam dengan besi) lebih baik daripada lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuhnya. Ini sudah bermakna, lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuh itu terlalu jauh lebih teruk dan buruk dari teruk dan pedihnya kepala ditikam dengan besi. Kami berlindung dengan Allah dari hal itu. Buruk dan teruknya lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuhnya itu adalah dari aspek moralnya dan juga dari aspek hukumannya yang tersangat dahsyat di hari perhitungan kelak.

Dalam kasus cinta remaja, kalau sudah wujud pertemuan jasadi (ie dating) malah pertemuan qalbi (hati) itu, pastilah berlaku kedekatan secara jasad (ie fizikal lelaki dan wanita berada dalam jarak yang dekat, "close proximity "wink. Padahal lelaki dan wanita itu ibarat dua magnet berbeza kutub, pastilah saling tarik menarik apabila berdekatan. Semakin dekat kedudukan, semakin kuat tarikannya. Tarikan itu akhirnya berakhir dengan sentuhan antara keduanya, malah bukan sekadar tersentuh, bahkan terikat rapat, erat dan ketat. Itu sudah hukum logik ciptaan Pencipta lelaki, wanita dan magnet. Begitulah juga lelaki dan wanita, tarikan antara keduanya tidak ubah seperti tarikan dua magnet. Maka memang berlaku kemungkinan, malah bukan setakat mungkin, realiti yang lepas sudah membuktikan bahawa berlaku persentuhan antara jasad lelaki dan wanita dalam cinta remaja, malah banyak kasus yang melebihinya hingga berlaku perihal yang tidak diminta. Bencana dan dosa zina.

Disebabkan cinta remaja itu mengandungi komponen haram, ie bersentuhan antara lelaki dan wanita, maka cinta remaja itu sendiri adalah haram. Itulah hakikat yang terpaksa diterima sebagai seorang Islam, sesuai dengan makna Muslim iaitu tunduk dan patuh pada Allah, seluruhnya dan sebulat-bulatnya secara total, tanpa argumen.

6. Perkara yang mendekatkan kepada zina

Sudah jelas dalam syariat Islam bahawa zina itu haram. Telah jelas juga termaktub dalam Perlembagaan Tertinggi bagi orang Islam iaitu al Quran bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina juga adalah haram. Surat al Israk ayat 32 menjelaskan "Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." Pernyataan 'jangan' dengan jelas menunjukkan bahawa perbuatan mendekatkan kepada zina adalah haram. Cuma, masyarakat Islam yang belum jelas hakikat ini. Kalau pun sudah jelas, sengaja berpura-pura tidak tahu seolah-olah ayat ini tidak pernah exist dalam al Quran yang mereka baca secara lisan. Padahal kepura-puraan mereka itu hanyalah menipu diri sendiri kerana hendak menurut, memuja, mengagung dan memuaskan nafsu yang memang suka kepada perbuatan terlarang mendekatkan diri kepada zina.

Lagi dalam hal cinta remaja, perkara yang mendekatkan kepada zina memang jelas wujud. Berkedudukan lelaki dan perempuan dalam jarak dekat, baik secara terlindung (khalwat) atau pun secara jelas di khalayak (ie dating di tempat awam atau rumah makan), persentuhan lelaki perempuan, bahkan yang lebih dari itu, pertentangan pandangan mata, pandangan mata kepada berlainan jenis secara bernafsu, perbualan lelaki perempuan yang intim, mesra, manja, lunak, menggoda dan bernafsu, pembukaan dan pendedahan aurat terutama di pihak wanita, semuanya adalah perkara-perkara yang membuka pintu, mendorong, menggalakkan, memudahkan, meransang, membawa dan mendekatkan kepada zina. Hal-hal ini wujud dalam cinta remaja, maka cinta remaja itu sendiri adalah pembuka pintu, pendorong, penggalak, pemudah, peransang, pembawa dan pendekat kepada zina.

Maka sekali lagi jelas, bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina itu haram dan kerana cinta remaja itu mendekatkan kepada zina, maka cinta remaja adalah haram.

Jadi, apa jalan yang halal?

Pertanyaan ini pasti berlegar di pemikiran para remaja yang di zaman emas cinta ini amat membutuhkan untuk mencintai dan dicintai, kerana itu memang sudah fitrah ciptaan Ilahi. Sesungguhnya cinta itu suci. Surat an Nur ayat 32 menjawab pertanyaan di atas: " Dan kahwinkanlah orang-orang yang sedirian antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." Memang ternyata perkahwinan adalah penyelesai masalah, kerana sesudahnya semua yang haram sebelumnya menjadi halal. Wah, indahnya!

Tetapi realitinya, banyak remaja belum siap untuk kahwin. Bahkan, dalam konsepsi yang salah, mereka seperti memandang kahwin itu penghalang keseronokan, pengakhir zaman keemasan dan pelbagai fahaman yang silap, kerana mereka tidak mengerti bahawa kahwin itulah justeru pembangkit keseronokan hidup, kebahagiaan, ketenangan dan pemula zaman emas dalam hidup dan cinta. Lantas, bagaimana bagi mereka yang belum sedia untuk kahwin atau belum mampu, padahal keinginannya sentiasa mahu.

Islam sebagai sistem yang lengkap dan penyelesai masalah, bukan penyebab masalah, tetap saja mempunyai penyelesaian untuk problematika itu. Surat an Nur, ayat 33 menjawab; "Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan hamba sahaya yang kamu miliki yang memginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikaruniakan-Nya kepadamu. Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mengingini kesucian, karena kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada mereka) sesudah mereka dipaksa itu."

"Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan karunia-Nya. …". Banyak sarana yang boleh dipraktis dalam usaha menjaga kesucian diri. Antaranya ialah amalan mulia menjaga pandangan mata bagi lelaki dan wanita serta amalan berpuasa.

Menjaga Pandangan Mata

Surat an Nur ayat 30: "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." Surat an Nur ayat 31 pula: "Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung."

Ternyata, untuk menjaga kesucian diri, bagi seluruh kaum muslimin dan muslimat, terutama yang belum berkahwin, salah satu sarana yang wajib diamalkan ialah menjaga pandangan mata, jangan sampai bertentang mata antara lain jantina atau memandang lain jantina dengan nafsu al hawa atau juga memandang perilaku maksiat. Mata sesungguhnya sangat besar peranannya dalam menghindar maksiat dan menjaga kesucian diri, kerana mata adalah deria yang menerima input. Sedang input adalah modal yang akan diproses oleh hati dan menghasilkan output ie tindak laku manusia. Inputlah yang menjadi pencadang output. Baik input, maka insyaAllah baiklah output, sedang buruknya input menghasilkan output yang buruk. Maka sebab itulah amat penting untuk menjaga pandangan mata dan mengawalnya agar tidak terterima atau sengaja menerima input yang negatif yang bakal menghasilkan output perilaku yang negatif dan berdosa pula.



Menutup Aurat dan Menyembunyikan Perhiasan Wanita

Ayat 31 surat an Nur juga memberi panduan khususnya untuk wanita, dalam upaya memelihara kesucian diri: "... janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..." Perhiasan pada diri wanita itu terbahagi dua; perhiasan internal dan perhiasan eksternal. Badan wanita itu sendiri adalah perhiasan dan merupakan perhiasan internal. Sedang segala perhiasan yang dipakaikan kepada wanita itu dari pakaian, barangan kemas, bau-bauan, warna-warnaan dan lain-lain adalah perhiasan eksternal. Maka, wanita sewajibnya tidak menampakkan perhiasan internal dan eksternal mereka. Aurat wanita adalah sebahagian dari perhiasan internal. Maka aurat hendaklah ditidaknampakkan atau disembunyikan dari pandangan lelaki baik dari segi permukaan aurat itu, warnanya, malah bentuknya ie bentuk anggota badan terutama yang sensitif pada pandangan lelaki. Pernyataan "... kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..." dalam ayat 32 surat an Nur itu merujuk perkara yang pada waktu kebiasaannya memang tampak, seperti luaran pakaian, muka dan tangan. Tapi itu tidak bermakna wanita boleh berpakaian, atau menghias muka dan tangan sampai boleh menarik perhatian lelaki seperti memakai pakaian yang ketat atau sendat ke bentuk badan, nipis hingga menampakkan dalaman badan atau berwarna terang ranggi yang menarik perhatian, atau memakai bau-bauan semata menarik perhatian, umpama warna dan bau bunga menarik kumbang. Muka dan tangan pun tidak sepantasnya dihias sehingga menarik perhatian lelaki bukan suami. Sedang larangan inilah yang menjadi budaya wanita moderat hari ini. Inilah cabaran dan ujian buat Muslim agar mereka layak diganjari syurga di mana Muslimat akan menjadi bidadari dan Muslimin akan bercinta dengan mereka
Dengan seindah-indah cinta syurga yang tidak pernah wujud dalam cinta hawa nafsu manusia dunia yang hina.

Diberikan lagi panduan dalam ayat 31 surat an Nur manual bagaimana wanita hendak memelihara kesucian diri "... Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan."

Diberikan panduan secara jelas, terang lagi bersuluh agar wanita menutup perhiasannya dengan lebih kemas pada bahagian tertentu dari perhiasan itu. " ... Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, …". Memang dapat difahami bahawa ia perlu ditutup dan tidak dibuka, perlu ditidaknampakkan bentuknya, serta penutupan itu bersifat menyeluruh bukannya parsial, iaitu meliputi seluruh anggota dan bukan separuh-separuh saja atau sekadar ambil-ambil nama tutup. Yang ditutup itu adalah perhiasan, maka selayaknya ia ditutup secara total supaya sedikitpun tidak terkena kotor. Ada yang mempersoal, kalau ia ádalah perhiasan kenapa ia mesti ditutup sedangkan perhiasan adalah untuk ditayang dan diperagakan. Ya, memang ia untuk ditayang dan diperagakan, tapi ia bukan perhiasan sebarangan yang boleh ditayang kepada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa, tetapi dia ádalah perhiasan yang tersangat mahal, mulia dan istimewa dan layak ditayang pada masa-masa tertentu di tempat-tempat tertentu kepada orang yang istimewa dan berhak sahaja ie suami tercinta.

Menjauhi Perbuatan yang Menarik Perhatian Lawan Jantina

"… Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." Satu lagi panduan berguna buat menjaga kesucian diri. Secara fiziknya dapat difahami bahawa perbuatan memukul kaki itu termasuklah menggerakkan, melangkah, menghayun atau menggoyangkan kaki agar mengeluarkan bunyi (sama ada dari hentakan sandal, loceng, gelang kaki atau lain-lain) untuk menarik perhatian lelaki terutama semasa berjalan. Amat ironis perbuatannya, pada masa dia berbuat ketaatan kepada Rabbnya dengan menyembunyikan perhiasannya, pada masa sama juga dia ingin berbuat keingkaran (maksiat) kepada Rabbnya. Dia berbuat begitu semata-mata kerana masih mahu menurut hawa nafsunya, padahal dia pun tahu bahawa kaki yang hendak digunakan untuk maksiat itu pun dari Allah. Tidakkah dia berasa malu menggunakan harta seseorang untuk menentang orang itu sendiri, padahal dia hanyalah peminjam harta itu (ie kaki)?

Berpuasa

Berpuasa adalah sarana yang amat berkuasa dan berkesan dalam menjaga kesucian diri. Rasulullah telah memberitahu dengan jelas: "Wahai para pemuda, siapa sahaja di antara kalian yang mampu menikah, maka menikahlah. Dan siapa sahaja yang belum mampu menikah, hendaklah ia berpuasa, sebab puasa itu memiliki pembenteng (wija)" (HR. Bukhari Muslim).

Ternyata sekali bahawa puasa itu benteng kukuh untuk para mukminin dan mukminat terutama para remaja Islam yang belum kahwin dalam usaha menjaga kesucian diri dari melakukan fahsyak kerana desakan hawa nafsu dan bujukan syaitan berupa jin dan manusia. Ya, hari ini jin-jin syaitan tidak nampak kerana ghaib tetapi syaitan berupa manusia memang banyak berkeliaran di mana-mana bahkan mereka bergiat mendakyahkan kemaksiatan kepada manusia melalui pelbagai sarana, media dan wacana.

Surat al Baqoroh 183 memberitahu hasil puasa: "Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa." Ya, itu kesannya puasa, menghasilkan muslim yang bertaqwa. Muslim bertaqwa tentu sekali menjaga kesucian dirinya secara awas dan ketat.

"Puasa itu menjadi perisai." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Satu lagi hadis yang menyokong kekuatan puasa sebagai wahana berguna dalam upaya menjaga kesucian diri. Puasa secara saintifiknya mengecilkan pembuluh darah sekaligus menyukarkan syaitan untuk berlari di dalamnya, secara automatis men de-active kan mereka.

Semoga kita semua tergolong dalam orang-orang yang suci dan menjadi orang yang mensucikan diri. Sesungguhnya Allah itu Maha Suci dan menyukai kesucian, lahir dan batin.


Sucikanlah dosa kami Ya Rabb yang Maha Suci.
Amin.